Tuesday, March 21, 2017

Pak Latif, Rempah Ratus dan seputar dunia seni-sastera Malaysia






Abdul Latiff Mohidin atau lebih dikenali sebagai Latiff Mohidin (atau Pak Latif seperti bahasanya kepada saya) menjadi figura seni sangat dihormati dalam seni tanah air, sekali gus melangkaui genre puisi meskipun beliau pernah menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) pada 1984.
   
 Beliau bukan saja masih aktif melukis, bahkan giat menulis atau mendokumentasikan segala koleksi catatannya sejak 1960-an. Selepas Catatan Latiff Mohidin pada akhir 2010, Rempah Ratus ialah himpunan catatan pelbagai gaya dan genre yang diibaratkan sebagai 'halwa - janganan aneka makanan dalam satu hidang.'
   
 Paling menarik dalam buku itu, tentu saja bahagian keempat, iaitu catatan dari studio ke pameran yang merakamkan perjalanan hidup sebagai pelukis sejak usia 10 tahun.
   
 Sangat menarik sebenarnya untuk membaca kisah  Pak Latif  yang pernah digelar 'budak ajaib' itu yang mengenang kembali bagaimana beliau dengan bantuan guru, bapa dan abangnya berhasil mengusahakan pameran solo menghimpunkan 17 karya dengan bahan tara pensil warna, cat air dan pastel, selain 20 catan yang dihasilkan pada usia 10 tahun.
   
 Pak Latif juga sudah menghasilkan karya daripada pelbagai bahan tara, termasuk jerami padi dan kertas timah pembalut rokok. Jika pada umur itu, beliau sudah jauh meninggalkan rakan seusianya, tidak hairanlah untuk kita menyaksikan kedudukannya kini.
   
Bagaimanapun, beliau tidak menceritakan pula pembabitannya dengan Anak Alam meskipun buku ini memuatkan catatan sekitar 1960-an dan 1970-an ketika menuntut di Barat dan perjalanan hidupnya sebaik tamat pengajian yang dicuit serba sedikit.
   
Sesuatu yang menarik tentang  Pak Latif adalah keupayaannya menyimpan catatan sejak dekad 1960-an. Malah menerusi nota pengarang dalam naskhah ini, beliau mengakui suka mencatat dan menyimpan buku catatan yang dirujuk sebagai buku dialog.
   
 Catatan pengalaman bahagian empat ini turut memuatkan terjemahan haiku pengarang Jepun seperti Matsuo Basho, Natsume Soseki dan Keiko Ito, selain terjemahan karya klasik China, dialog serta monolog, catatan kembaranya dari Timur ke Barat dan catatan proses kreatif yang dirujuk sebagai `sajak-sajak tak lengkap' kerana beliau merasakan ada sajak yang kurang dan tidak lengkap sifat sebagai seni berkenaan.
   
 Terdapat juga sajak bahasa Minang, Tanang Alah Mambaok Rusuah, yang mengingatkan pembaca kepada negeri kelahirannya, Negeri Sembilan.
  
Naskhah Rempah Ratus turut merakamkan sekitar tahun 1973 apabila Pak Latif dan rakan-rakannya sudah membincangkan isu tiada pengarang Malaysia yang memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan, selain kerunsingan tentang kelompok yang kurang percaya pada kekuatan bahasa ibunda.
   
 Sayangnya hingga kini sesudah 43 tahun kerunsingan itu masih belum bernoktah.

No comments:

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...