Wednesday, March 22, 2017

Apa ada di Batu Uban ?


Apakah sebenarnya yang berlaku pada orang Melayu di Pulau Pinang? Apakah mereka dikhianati sejarah atau tertindas oleh transformasi ekonomi?
   
  Apapun yang sebenarnya berlaku, perkara utama perlu diketahui ialah kecurangan orientalis yang mencatatkan Pulau Pinang sebagai pulau yang kosong ketika Francis Light menjejakkan kaki pada 1786. Pandangan balas itu diperincikan menerusi naskhah Batu Uban Sejarah Awal Pulau Pinang karya Ahmad Murad Merican.
   
  Malah, beliau jelas menyebut naskhah itu dihasilkan bertujuan meluruskan sejarah dengan harapan Batu Uban yang menjadi penempatan terawal Melayu di Pulau Pinang dipulihara.
   
 Pengalaman membaca naskhah ini bukan sahaja mengiakan pandangan Ahmad Murad, bahkan tidak keterlaluan untuk menyebut naskhah ini sangat penting dalam memahami kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang.
   
  Ahmad Murad bukan saja menuliskan sejarah Batu Uban, bahkan kritikal dalam melontarkan pandangan mengenai kegagalan agensi berkaitan dalam melihat kedudukan Batu Uban hinggakan terancam oleh pembangunan.
   
  Malah tanpa ada usaha menyelamatkannya, amatlah tidak mustahil untuk menyaksikannya Batu Uban `tenggelam' bersama warisan sejarah, budaya dan maruah.
   
  Pulau Pinang dinaungi Kesultanan Kedah, tetapi muslihat Light yang membawa penjajah Inggeris untuk campur tangan dalam perjanjian yang dipersetujui antara kerajaan Kedah dan Light mengakibatkan pulau itu tergadai.
   
  Pulau Pinang kemudian dibentuk menjadi wilayah baharu yang menyaksikannya terpisah daripada sejarah dominan wilayah asal yang lebih besar.
   
  Pandangan itu diulas oleh Ahmad Murad dengan cukup baik, malah impak pembentukan wilayah baharu turut menyebabkan hakikat kedudukan penduduk asalnya terpadam atau dianggap tidak berharga kerana Orientalis Barat melihat mereka sebagai tidak bertamadun.
   
  Naskhah setebal 262 halaman ini wajib dibaca bukan hanya kepada anak Pulau Pinang, bahkan seluruh rakyat Malaysia.
   
  Pandangan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf yang turut dipetik dalam naskhah ini menarik diperdebatkan. Wan Shamsudin mencadangkan Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah kerana perjanjian antara Sultan Kedah dan British ditandatangani pada 1786.
   
  Wan Shamsudin berkata, sepatutnya perjanjian mencapai usia 171 ketika Malaysia merdeka itu dibatalkan seperti Wilayah Dinding diserahkan kembali kepada Perak.
   
  Malah, Pulau Pinang dan Seberang Prai juga disifatkan sebagai milik Kedah kerana duit pajakan masih dibayar oleh Kerajaan Pusat dengan nilai RM10,000 setahun.
   
  Cadangan itu pasti akan disambut pelbagai reaksi, tetapi pada masa ini perkara utama adalah memulihara penempatan awal Melayu Batu Uban. Sekiranya buku ini boleh dikategorikan sebagai sebahagian kempen, ia adalah langkah yang sangat berjaya.
   

No comments:

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...