Ruhaini Matdarin antara pengarang muda yang berpengaruh di Malaysia. Karya Ruhaini selalunya tampil tersendiri dan luar biasa `enaknya.'
Bahasanya `maskulin,' pemilihan ayatnya pendek-pendek dan kurang puitis, tetapi membawa keberanian dan sangat jelas dengan bentuk dan nada yang melanggar kebiasaan konvensional.
Fiksi Buat Marquez, naskhah terbaru tulisan beliau, himpunan 23 cerpen, yang terbit awal tahun ini memang testimoni terbaik menjelaskan bakat dan kehebatan pengarang berkenaan.
Seperti tajuknya Fiksi Buat Marquez, Ruhaini seolah-olah mendedikasikan keseluruhan karya ini kepada pengarang Mexico, Gabriel García Márquez. Realisme magis menguasai naskhah ini dan beliau kelihatan sangat selesa mengendalikannya.
Paling menonjol adalah tajuk setiap cerpen dalam naskhah ini yang mencuit akal dan tawa, misalnya Tukang Gunting Rambut dan Penjual Ubat Gigi Pemutih Ajaib. Meskipun tajuknya sedikit lucu yang dibawanya menduga akal membaca apabila bercerita tentang kesungguhan, keazaman dan pada akhirnya genetik yang diwarisi.
Sementara cerpen yang menjadi tajuk naskhah ini membawa kisah mengenai penulis bernama Izzad yang tenggelam dan timbul dalam dunia kepengarangannya. Cerpen lain seperti Sejarah Mati di Gerai Nasi Lemak, Cerita yang Merayap-Rayap Tentang Gaza mempunyai impak tersendiri.
Bagaimanapun, saya sangat merasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit perlu lebih peka, semua cerpen ini sudah tersiar. Apabila meletakkan naskhah ini sebagai kumpulan cerpen `remaja' ia adalah klasifikasi yang tidak sesuai. Terma remaja itu di tangan DBP juga berbeza-beza.
Kalau novel remaja DBP masih bermain isu remeh-temeh kehidupan remaja misalnya, tiba-tiba kumpulan cerpen remajanya membawakan kisah realisme magis yang mencuit isu semasa.
No comments:
Post a Comment