Saya selalu kagum dengan cara Jong Chian Lai bercerita. Tenang, perlahan, tetapi akhirnya disimpulkan dengan kejutan. Meskipun tidaklah semua karya Chian Lai sedemikian, sekurang-kurangnya begitulah yang saya temui setiap kali menikmati karya beliau.
Chian Lai, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2006, memang penulis yang berjenama besar dalam nuansa kesusasteraan tempatan meskipun beliau tidak kerap muncul. Namun setiap kali muncul, Chian Lai pasti memukau misalnya menerusi novel Ah Fook yang terbit pada 2015.
Seorang Seekor Lelaki pula adalah himpunan 16 cerpen yang terbit dalam tahun sama, tetapi mengangkat latar yang berbeza. Dalam naskhah ini Chian Lai menggaulkan pengalaman dan pembacaannya menjadikan naskhah ini adalah dokumentasi interaksi kaum yang sangat unik apatah lagi diperkemaskan dengan kekuatan bahasa.
Cerpen yang menjadi tajuk naskhah ini sangat menarik, iaitu mengenai manusia yang hilang sifat kemanusiaan. Kejahatan itu sama taraf dengan binatang tanpa mungkin disedari binatang juga mempunyai sifat ‘kemanusiaan’ yang mungkin lebih baik daripada seorang manusia. Itu inti ceritanya, bagaimana seorang lelaki menjadi seekor lelaki dan seekor kera menjadi seorang kera, dunia penuh kebebasan hingga kebebasan itu tidak diperlukan.
Chian Lai juga bijak bercerita dari sudut pandang seorang wanita. Chian Lai berjaya menerobos jauh dalam dunia pemikiran seorang wanita dan cemerlang melakukannya.
Garis Hitam, mengangkat kisah Jenny dicurangi suaminya seorang pembalak. Duduk berjauhan dengan keluarga menyebabkan suaminya melanggan pelacur secara kontrak yang menyebabkan Jenny dan tiga anaknya menghidap HIV. Sangat menarik apabila kekuatan wanita digambarkan di hujung cerpen ini apabila si pelacur datang dengan keinsafan dan kekesalannya menemui anak-anak Jenny yang kehilangan ibu dan bapa.
Sementara cerpen Hikayat Rentap 1 dan Hikayat Rentap 2 kental dengan nasionalisme, kedua-dua cerpen ini menyingkap kisah penjajahan Sarawak yang akhirnya membawa kemenangan kepada wajah tempatan.
Kebelakangan ini banyak penerbitan lebih selesa mengangkat kisah-kisah santai dan bersifat komersial menjadikan agak sukar menemui naskhah yang benar-benar enak untuk dinikmati tetapi tidak untuk Seorang Seekor Lelaki.
No comments:
Post a Comment