Sunday, March 19, 2017

Bahtera Bahasaku - Adi Badiozaman Tuah yang romantis.

Jika kumpulan puisi itu adalah sebuah diari, maka Bahtera Bahasaku sebenarnya adalah diari untuk pengarang, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah. Apatah lagi ada di antara himpunan 92 sajak ini sesetengahnya sudah menjangkau usia 46 tahun misalnya Teratai yang dihasilkan pada 1971 di Kuala Tatau, Bintulu, Sarawak.
 
  Kumpulan puisi ini meskipun mengangkat tajuk mengenai bahasa yang mungkin boleh ditafsir kepada perjuangan atau perkembangan bahasa kebangsaan, tetapi sebahagian besar sajak dalam naskhah ini adalah ruang yang dibuka pengarang untuk pembaca mengenalinya seluas mungkin.
 
  Himpunan sajak seawal 1971 misalnya mencatat makna sendiri kerana itulah detik beliau mula membabitkan diri dalam penulisan sajak. Sekitar 1970-an juga Adi Badiozaman masih menuntut di Universiti Malaya. Justeru, tidak hairan untuk menemukan sajak-sajak yang merakamkan resah, gelisah dan sesekali romantis nadanya.
 
   
Kita juga dapat membaca kerinduan dan ingatannya pada apa yang ditinggalkan di Sarawak atau mungkin tepatnya di Bintulu. Misalnya sajak Satu Penantian dihasilkan pada 1975 dan ditujukan untuk tunangnya Ima.
 
  dalam penantian ini
  turun naik mentari terlalu perlahan
  seakan enggan datang dan pergi menjemput esok
  dan di Subuh dingin begini
  satu-satu kedengaran kokokan ayam
  melambatkan tibanya pagi.
 
  Puisi lebih jujur bercerita mengenai pengarangnya berbanding prosa. Justeru, ia ikhlas merakam kecenderungan dan kotak fikir penulis. Naskhah ini memperlihatkan bagaimana Adi Badiozaman terkesan dengan sajak Cintaku Jauh di Pulau oleh Chairil Anwar dan terhasilnya Cintamu Jauh di Pulau pada 1980, sesudah 31 tahun pemergian Chairil.
 
  mengingati pemergianmu
  khairil dengan apologi
  kira kau masih berpuisi
  Naskhah bersifat diari
   
  Puisi Pertemuan di Hyde Park juga sangat menarik kerana ia membawa kenangan dan kekentalan semangat dan jati diri pengarangnya. Meskipun ketika itu beliau jauh di Eropah, beliau masih teringat pada ayahnya yang mengajarnya erti hidup, pada sawah bendang dan erti sebuah watan.
 
  Sifat `diari' pada naskhah ini turut dapat dilihat menerusi sajak Bonda 1 mengenai kesedihan dan rindunya pada bonda yang pergi meskipun tahu pemergian itu perlu dilepaskan.
 
  Sementara sajak terkini beliau misalnya yang dihasilkan sekitar 2005 hingga 2009 adalah himpunan dedikasinya kepada rakan dan taulan juga pemimpin, sesuai dengan perkembangan semasa ketika itu yang mana Adi Badiozaman pernah terbabit dengan politik di negeri kelahirannya.

No comments:

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...