Friday, April 21, 2017

Siapa Khoo Kay Kim ?



Sejujurnya, saya teruja apabila kali pertama mengetahui biografi mengenai Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim bakal diterbitkan.

Selama ini kita mendengar pandangan dan pendapat Kay Kim mengenai sejarah serta sukan, namun menerusi I, KKK The Autobiography of a Historian, Kay Kim membentangkan kisah peribadinya, keluarga dan kawan-kawannya.

Sudah tentu pembacaan ini akan mengujakan kerana sorotan kembali itu bermula dari zaman kecilnya di kampung halaman di Teluk Anson yang kini dikenali Teluk Intan, zaman remaja di Singapura sebelum kembali ke Ipoh dan seterusnya di Kuala Lumpur.

Kehidupannya berwarna-warni dan luar biasa. Selain menjadi generasi awal sarjana yang dilahirkan sistem pendidikan kebangsaan, Kay Kim ialah generasi muda dekad 1950-an yang berjiwa kebangsaan.

Lahir dalam keluarga peranakan dan bersekolah Inggeris, Kay Kim dalam naskhah ini merakamkan latar zaman 1940-an dan 1950-an dan negara ketika itu masih diperintah penjajah.

Dalam 11 bab yang membina naskhah ini, penceritaan mengenai bapanya, Khoo Soo Jin boleh diibaratkan binaan yang paling menarik perhatian. Kay Kim menyifatkan bapanya sebagai lelaki yang berpandangan terbuka dan mempunyai visi jelas dalam kehidupan.

Jika segelintir orang Cina lain pada masa itu, lebih mengambil tahu mengenai Tanah Besar China dan kemungkinan untuk kembali ke sana, tetapi bapa Kay Kim lebih berminat untuk memajukan Malaysia sebagai negara baharu.

Pandangan bapanya diterapkan dalam keluarga dan tidak menghairankan ia memperjelaskan kedudukan Kay Kim hari ini yang memiliki pandangan luas terhadap makna kenegaraan.

Keterbukaan pandangan bapanya juga menyaksikan Kay Kim tidak dihalang pun untuk mengahwini Rathi, gadis berketurunan India Sri Lanka pada 1966.

Naskhah ini ditulis dengan bahasa yang mudah tetapi menyentuh dalam cara tersendiri. Dalam sela ayat, terlihat kecintaan dan kebanggaan Kay Kim kepada negeri kelahirannya, baik dalam konteks yang lebih besar, iaitu Malaysia atau lebih khusus, iaitu Perak.

Jujurnya, jika kisah hidup Kay Kim difilemkan, ia bukan hanya merakamkan kisah peribadi tokoh akademik bahkan dokumentasi pembentukan dan pembangunan sebuah negara merdeka.

Tuesday, April 4, 2017

Warna apa Murakami ??



Buku ini sudah lama saya baca. Sudah ada terjemahan dalam bahasa Melayu pun.

Ok, untuk saya naskhah ini sebenarnya memaparkan jalan  cerita terlalu mudah jika mahu dibandingkan dengan kebanyakan novel yang ditulis oleh pengarang Malaysia.
(Serius kadang kala penulis Malaysia tulis hal-hal besar yang so seriusss... ehem, termasuk saya kut ! tapi ya bukan semua  !)

Malah, sebenarnya pengalaman membaca naskhah sebahagian pengarang Jepun, tidak banyak 'cerita' yang dikutip. Ia hanyalah penceritaan yang disempurnakan dengan teknik dan eksperimen dalam berkarya, yang kemudiannya bergantung kepada cita rasa pembaca.

Secara ringkas, itu yang boleh disimpulkan sesudah menamatkan Colorless Tsukuru Tazaki and his Years of Pilgrimage tulisan novelis Jepun, Haruki Murakami.

Publisiti meluas tentang Murakami terutama pencalonan untuk mendapat Hadiah Nobel (Kesusasteraan) yang sudah hampir tiga tahun berturut-turut tidak memihak kepadanya, selain kesanggupan pembaca di Britain yang bermalam di luar kedai buku semata-mata untuk mendapatkan novel ini ternyata memberi publisiti yang luar biasa terhadap Murakami.

Pembaca yang kali pertama membaca tulisan Murakami mungkin sedikit kecewa sementara yang biasa membaca tulisannya tidak terlepas daripada membandingkan dengan naskhah terdahulunya, Norwegian Wood atau mungkin Sputnik Sweetheart.

Bagaimanapun, keunikan Colorless Tsukuru Tazaki and his Years of Pilgrimage juga tersendiri.

Ia mengisahkan tentang Tsukuru Tazaki yang tersingkir daripada persahabatan dengan empat rakan karibnya sejak remaja tanpa dia tahu apa sebabnya.

Meskipun mampu meneruskan kehidupan, tetapi Tazaki masih tertanya-tanya mengapa dia tersingkir daripada persahabatan itu sementara rasa rendah diri yang menyelubungi menyebabkan perasaan ingin tahu itu mati.

Persahabatan yang akrab dengan Sara membuat dirinya terdorong untuk kembali ke kampung halaman dan mencungkil rahsia zaman remaja.

Bukan karya Murakami yang terbaik, tetapi pasti sahaja antara novel yang baik untuk dibaca.


Monday, April 3, 2017

Coklat Buatan Mawar Safei



Menelusuri kumpulan cerpen Dan Coklat Mengalir Dari Ruang Buncah membawa kita kepada satu dunia yang setiap satu daripada kisahnya dibangunkan oleh kata-kata yang puitis.

Sudah tentu kekuatan pengarangnya, iaitu Mawar Safei, tidak lain adalah bahasanya yang cukup indah seperti yang kita kenali melalui kepengarangannya dalam dunia cerpen. Justeru, perjalanan membaca kumpulan cerpen ini berakhir dengan keindahan juga. Mawar antara pengarang wanita yang berpengaruh di negara ini.

Sebelum muncul dengan kumpulan cerpen Dan Coklat Mengalir Dari Ruang Buncah, Mawar terlebih dulu membawa kita untuk mengenali kekuatan watak Masitah lewat kumpulan cerpen Masitah yang terbit pada tahun 2007.

Justeru, kehadiran naskhah terbaharu ini pada ranah kesusasteraan adalah sebuah lagi testimoni kekuatan Mawar dalam mengolah karyanya.

Menghimpunkan 20 cerpen yang sebelum ini sudah diterbitkan di pelbagai media, Mawar selalu menyorot naratifnya dari kaca mata wanita.

Indahnya, watak wanita di tangan Mawar ditampilkan mem liki perwatakan yang sangat kua dan tabah serta sekiranya mela wan, tetap dalam kesabaran.

Merangkumi pelbagai tema dari isu kasih sayang, persahabatan, bahasa, sastera dan agama kepada hal berkaitan kehidupan, Mawar menerusi Antara Rindu Xiang Si Dou menuliskan persahabatan yang dibajai tetapi kemudiannya terputus kerana keluarga yang perlu berhijrah ke negara lain.

Karya ini menyentuh hati dengan cara tersendiri kerana jika mengambil latar peribadi Mawar, mungkin kisah ini rakaman perpisahan Malaysia dan Singapura.Cerita Dari Tiga Jendela pula adalah kisah biasa ditemui dalam kehidupan tetapi disorot dengan segar oleh Mawar sehingga menjadikannya istimewa.

Kumpulan cerpen ini juga dikuatkan dengan beberapa karya yang sudah menerima pelbagai pengiktirafan sastera termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) seperti Narasi Cinta Di Pulau Seribu Kubah yang membawa pembaca ke perspektif lain menilai keperibadian lelaki dari Lombok, Indonesia.

Begitu juga dengan cerpen Dia Dari Penjuru Tahun Lalu yang turut meraih hadiah sastera pada tahun 2008, selain Antara Tikungan Yang Aneh yang mencuri hati panel juri pada tahun 2012.

Selebihnya meskipun tidak memenangi pengiktirafan sastera, tetapi masih karya yang baik untuk dibaca. Menikmati Dan Coklat Mengalir Dari Ruang Buncah adalah pengalaman membaca yang menyenangkan.
   

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...