Saya cepat tertarik pada buku ini. Selain harganya murah (emm.. saya beli dengan harga RM9.90 saja dan tertera di kulit belakang harga dalam pound adalah 11.90) buku ini ditulis oleh Melissa Fay Greene.
Buku ini buku lama, diterbitkan pada 2006. Kalau tidak silap ia pernah dinobat sebagai buku terbaik 2006. Justeru, mungkin ada di kalangan anda yang sudah khatam buku ini. Saya belum habis membacanya. Helaiannya pun belum puas dibelek, jadi belum ada ulasan yang boleh saya tuliskan.
Bagaimanapun merujuk pada blurb belakangnya, ia kisah tentang anak-anak Afrika yang menjadi yatim piatu kerana HIV/Aids.
Secara peribadi, saya pernah menulis mengenai HIV/Aids dan persepsi masyarakat dalam salah satu cerpen saya pada 2008. Bagaimanapun, cerpen itu tidak tersiar. Saya pun tidak pasti mengapa, cuma saya terfikir ia mungkin tidak mencapai piawaian majalah berkenaan. Saya sudah belek-belek cerpen itu kelmarin dan terfikir memberi nafas baru untuknya.
Tahun ini memang saya kurang menulis cerpen. Tahun ini azamnya, hendak banyak menghasilkan novel. Bagaimanapun, setakat ini ia masih tinggal azam... dan 2010 sudah masuk bulan ketiga.
Kawan-kawan, pinjamkan saya kekuatan? There is no me without you !