Thursday, April 18, 2013

Namaku Bukan Maria





Tragedi Natrah Che Maarof atau Maria Bertha Hertogh pernah mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan rusuhan kaum di Singapura, yang menyaksikan 18 orang maut pada 1950.

Bukan sedikit kisah ini diangkat sebagai fiksyen namun di tangan Ibnu Azman Al Kurauwi, sejarah Natrah dirakam dalam sorotan yang lain menerusi Namaku Bukan Maria. Novel ini adalah kisah keluhuran cinta seorang ibu kepada anak angkatnya dan kisah ketelusan kasih sayang anak remaja kepada agamanya.
 
Dari satu sudut, ia membawa pembaca jauh dari realiti bahawasanya Maria dalam kehidupan sebenar sangat menderita, penuh kesedihan dan  kontroversi seperti yang tercatat dalam sejarah Tanah Melayu. 
 
Bagaimanapun, fiksyen ini tidak memperincikan hingga ke titik itu. Sebaliknya, sejarah  Natrah di tangan Ibnu Azman meninggalkan kesan yang indah dan tanpa air mata. Kisah Natrah terjadi pada zaman penjajahan Jepun di Indonesia.
 
Natrah lahir pada 24 Mac 1937 di  Tjimahi, Jawa, Indonesia. Ketika Indonesia dijajah Jepun, keluarga Natrah yang berketurunan Belanda dihimpit ketakutan dan kemiskinan disebabkan dasar penjajah yang anti Belanda.
 
Kehidupan keluarga itu lebih payah apabila bapa kandung Natrah dipenjarakan. Natrah kemudiannya diserahkan kepada Che Aminah oleh ibunya, Adeline Hertogh kerana hubungan akrab Che Aminah dengan nenek Natrah, Noor Louise yang beragama Islam. Che Aminah ketika itu menemani suaminya yang menjalankan perniagaan di Bandung, Indonesia.
 
Namaku Bukan Maria merakamkan seluruh kemanisan kehidupan Natrah sepanjang bersama Che Aminah di Kemaman Terengganu. Naskhah ini juga seperti ditulis di kulit belakangnya, menyuntik intuisi terhadap nilai iman kemudian disenyawakan dalam diri Natrah.
 
Justeru ia sebuah fiksyen, naskhah merakam sejarah menurut konteks pengarangnya seperti teori New Historicism  yang mencadangkan karya sastera itu dikaji dan diterjemah dalam konteks sejarah pengarangnya dan sejarah yang dikritiknya.
 
Ibnu Azman antara pengarang yang cemerlang dalam permainan bahasa. Kekuatan novel ini adalah dari segi bahasanya yang sangat puitis. Penceritaan dari satu bab ke bab yang lain walaupun ada kala agak meleweh dan sedikit merimaskan tetapi ia ditutup oleh keindahan bahasa yang dipilih pengarangnya.
 

Namaku Bukan Maria adalah novel keempat tulisan Ibnu Azman selepas Tinta Elipsis, Insyirah dan Punya Cinta Ramadan.
 

No comments:

Apa ada dengan Aku Anjing ?

Aku Anjing mungkin tajuk yang mengejutkan untuk sebuah kumpulan cerpen. Namun bagi pengarang, Saifullizan Yahaya, Aku Anjing dipil...