Selepas Bumi Cinta, rasanya inilah naskhah yang baik dari Habiburrahman El Shirazy. Temanya juga meskipun masih tidak jauh dari persoalan keagamaan tetapi kemampuannya meneroka sudut pandang sepasang suami isteri yang gentar dengan anak perempuan yang meningkat usia tetapi masih bujang amat baik.
Cinta Suci Zahrana mengangkat kisah pensyarah seni bina, Dewi Zahrana yang berjaya dalam akademik tetapi belum berkahwin meskipun usianya mencecah 34 tahun. Keputusannya untuk mendahulukan kerjaya membuatkan ibu dan bapanya gelisah. Mereka tambah tertekan dengan pertanyaan dan sindiran masyarakat keliling meskipun Zahrana sendiri tidak peduli dengan kata-kata orang lain.
Seperti biasa, tulisan Habiburrahman tebal dengan roh keIslaman, justeru watak Zahrana digambarkan meskipun terpelajar dia tetap taat kepada ibu bapanya. Zahrana kemudiannya membuka hatinya untuk berkahwin tetapi mahu mencari lelaki beriman biarpun tidak kaya. Ketika itulah dia diuji apabila ketua jabatannya di Universiti Universitas Mangunkar, Semarang tempat dia mengajar, Sukarman masuk meminang. Lelaki itu bagaimanapun rendah akhlaknya dan Zahrana tidak berminat.
Penolakan lamaran itu bukan saja membuat hati bapanya, Munajat patah tetapi juga Sukarman. Malah Sukarman kerap menghantar pesanan ringkas berbaur ugutan. Zahrana juga dinasihatkan berhenti kerja sebelum dipecat.
Kesungguhan Zahrana untuk memenuhi hajat bapanya yang terlalu ingin bermenantu, Zahrana akhirnya reda untuk dikahwinkan dengan seorang penjual keropok, Rahmat. Lelaki itu miskin harta tetapi tinggi akhlaknya. Zahrana sedia menerima Rahmat, bagaimanapun dia diduga apabila Rahmat meninggal dunia pada malam sebelum pernikahan berlangsung. Zahrana teruji dengan pemergian Rahmat tetapi akhirnya bertemu jodoh dengan Hassan, bekas pelajarnya di kampus.
Cinta Suci Zahrana sebuah naskhah yang baik bersulam pengajaran dan seperti biasa, Habiburrahman memang dikenal dengan kisah cinta bersegi-segi seperti yang boleh dibaca dalam Ayat-Ayat Cinta dan Bumi Cinta. Bagaimanapun, siapa akhirnya yang berjaya menawan watak utama selalunya diluar jangkaan pembaca.
Tema yang dipilih Habiburrahman amat menarik bagaimana dia gagal untuk meneroka lebih jauh pergolakan dalam diri Zahrana sebagai perempuan lanjut usia yang akhirnya tunduk kepada tekanan dan desakan keluarga. Mungkin kerana Habiburrahman adalah pengarang lelaki, justeru watak Zahrana sedikit tidak adil kepada wanita berkerjaya yang masih sendiri.
Naskhah ini juga sangat nipis jika dibandingkan dengan Bumi Cinta dan pengakhirannya kelihatan tergesa-gesa. Cinta Suci Zahrana sudah diterbitkan di Indonesia sekitar dua tahun lalu. Bagaimanapun ia hanya memasuki pasaran Malaysia awal tahun ini dengan naskhah terjemahan bahasa Melayu. Namun, sedikit mengecewakan terjemahan Cinta Suci Zahrana dalam bahasa Melayu tidak sempurna kerana pada beberapa bahagian, kelihatan lenggok Indonesia yang jelas terutama dialongnya dan beberapa perkataan Jawa yang tidak diterjemahkan.
2 comments:
nak pergi belilah buku ni :)
:)
Post a Comment