Friday, May 29, 2009

Jum Cuti!

Yepi, esok sudah cuti sekolah! Abang jerit.

Yayay.. nak balik kampung atuk, Ebi sahut.

Yeah.. nak dapat adik ipar lah kita, saya sampuk.

Aduh.. jenuhlah duit ayah keluar, Cik abang ketawa sambil garu-garu kepala!

Selamat bercuti !

Thursday, May 28, 2009

Kembalilah Menulis

Photo Credit

Beberapa hari meninggalkan Ayer Keroh, Melaka lewat Perhimpunan Penulis Muda 24 Mei lalu, saya menyoal diri saya berkali-kali, di mana saja sejak keluar MPR 1994? Apa yang saya buat dengan diri saya sendiri?

Saya terfikir, betapa saya terlalu membuang waktu. Sepuluh tahun bukan tempoh yang singkat. Mujurnya, saya tidak terlalu lewat untuk kembali menulis.

Prolifik? Saya tidak suka menyebut prolifik sebaliknya saya ‘mengejar’ waktu yang ditinggalkan. Sepuluh tahun tanpa berkarya (kecuali lukisan yang tidak menjadi) dan menulis untuk melepas tekanan dan keresahan, saya tidak tahu mengapa harus menipu pada kemahuan diri.

Sibuk waktu kampus sudah lama ditinggalkan. Kerjaya juga sudah masak walaupun belum ranum. Jejaka idaman juga sudah saya pikat dan menjadi milik yang sah dan sudah juga dikurniakan dua cahaya mata, alhamdulilah. Apa yang belum adalah melunaskan keinginan sendiri untuk kembali menulis dan menulis dan menulis.

Bertuahnya, saya ada tiga rakan yang selalu ada masa untuk berbincang atau bertegur sikit sebanyak seputar dunia penulisan.Ada juga editor yang selalu meluahkan pandangan.

Jadi, waktu berpakat-pakat dengan Shaidah Shafie perlukah pergi ke Melaka kelmarin, kami sama-sama tahu jawapannya - amat perlu.

Dan sungguh, saya seronok bersua kawan lama. Seronok juga bertemu penulis yang selama ini dikenal hanya nama. Seronok menghimbau kisah zaman remaja ya kak Shaidah.. ehem ehem..

Dan Jun ini, saya terlalu gembira apabila Wanita menerbitkan Rindu Bapa, Rindu Zaitun manakala Dewan Budaya menerbitkan Pala Tumpa’ Kayau Indau - himpunan pengalaman peribadi waktu perjalanan hidup membawa saya ke Sarawak.

Dan Jun datang dengan berita gembira lewat pengumuman tertunda kemenangan dalam HBSI ke 12. Nah, Tuhan sentiasa tahu apa yang diinginkan hamba-Nya kerana itu juga keinginan-Nya. Alhamdulilah. Saya makin bersemangat menulis dan saya juga ingin mengambil waktu untuk mengenali-Nya.


Wednesday, May 20, 2009

Rindu Bapa, Rindu Zaitun


Rindu Bapa, Rindu Zaitun di Wanita Jun 2009. Jejaka di balik majalah itu anak sulung saya, Adib.

Jun belum datang lagi. Masih berbaki seminggu lagi. Tapi saya sudah dapat khabar gembira untuk Jun ini. Terima kasih daun keladi untuk sidang editorial Wanita.
Wanita Jun 2009, memaparkan karya saya mengisi ruangan cerpennya. Terima kasih tidak terhingga. Menjadi penguat semangat untuk terus melahirkan karya.
Nikmati Rindu Bapa, Rindu Zaitun - kata kawan karya ini sarkastik macam penulisnya juga. Heheheheh...

Tuesday, May 19, 2009

Menangis Tidak Berair Mata



Sudah dua hari saya sungguh-sungguh tertekan. Sebabnya, laptop saya sudah ‘hancus’ dan tidak dapat diselamatkan.

Saya memang simpan kebanyakan data dalam thumb drive. Tetapi ada satu rangka novel yang semua bahan sudah ditaip tetapi belum dicantum-cantum menjadi ayat yang terlupa hendak disimpan dalam thumbdrive.

Allah jua yang tahu betapa kecewanya saya!

Rangka novel itu kononnya hendak dihantar ke satu sayembara. Saya sudah duduk berbincang dengan mereka yang sepatutnya waktu pertemuan di Pesta Buku dulu. ‘All the do and dont’s’ sudah saya senaraikan dan taip elok-elok.

Kemudian, saya tidak sentuh laptop dua hari sebab tergesa-gesa balik ke Ipoh. Apabila hendak menaip semula, ya Allah.. tak boleh langsung.

Dua orang pakar yang saya rujuk memulakan ayat begini, ‘kak.. laptop jenis ini dah lama. Spare part pun tak ada dah. Hard disknya tak boleh dibaiki,”

Dan bahagian yang paling saya sedih mendengarnya, ... semua fail tak dapat diselamatkan! Aduh.. ia ibarat kisah drama Melayu babak hero/heroine masuk hospital sebab sakit teruk dan doktor keluar bertemu ahli keluarga atau kekasih hero/heroine ... maaflah kami dah cuba sedaya upaya tetapi tak dapat diselamatkan.

Hendak menangis tetapi tidak berair mata. Inilah dia.

Wednesday, May 13, 2009

Isteri

I

Saya pulang ke kampung halaman semalam. Menziarahi kematian saudara dekat. Kematian yang dijangka tapi tidak terjangka.
Si isteri pergi dulu meninggalkan suami dengan lima anak. Suami tidak mampu bercakap dari saat berita kematian itu pecah hinggalah saat jenazah dikapan.
Hati tersentuh melihat suami yang terdiam tidak mampu berkata hanya mampu mengusap jenazah yang kaku. Melihat isteri yang dicintai berkongsi satu kehidupan akhirnya pergi dulu.

II

Minggu lalu, saya minta izin kawan lama untuk menampal sajak tulisannya di laman blog ini. Awalnya untuk memperingati hari ibu.
Kemudian, sajak ini begitu bermakna selepas peristiwa semalam.
Mungkin ramai yang akan berkata, ah, lelaki kematian isteri mudah mencari ganti. Ramai lelaki bertemu isteri baru waktu masih bernikah dengan isteri lama.
Namun mengenal saudara dekat ini yang kematian isteri semalam, saya tahu dia tidak mungkin mencari pengganti.

Untuk isteri, untuk suami, ini sajak untuk dihayati.


Isteri

tanpa cinta, isteri
adalah taman tanpa pohon
adalah surat tanpa kata
adalah bibir tanpa senyum
adalah lagu tanpa bunyi

tanpa air mata, isteri
adalah sungai tanpa badai
adalah mentari tanpa bayang
adalah malam tanpa kelam
adalah jantung tanpa degup

tanpa isteri, aku
adalah puisi mencari judul
adalah cincin mencari jari
adalah ombak mencari pantai
adalah cermin mencari pantulan

terima kasih, tuhan
kerana rahmat-Mu
yang selembut ini


ROSMAN NORDIN

Friday, May 8, 2009

Menulis Penuh Romantis

Photo: Corbis









Kerap kali kenalan bertanya kepada saya, bagaimana merangkai kata menjadi cerpen dan dari mana mendapat idea.Dan kerap kalinya saya senyum pada soalan itu. Sebab saya tiada jawapan. Bukan sombong bukan ego bukan semua itu. Saya sungguh, saya tidak tahu bagaimana hendak jawab pada soalan itu.

Namun, apabila terlalu kerap ditanya saya memikirkan apa jawapan yang tepat. Saya mulakan dengan membaca. Sebenarnya saya tidak suka dengan idea ‘memerhati’. Saya lebih selesa dengan membaca dan membaca dan membaca. Sebab, pembacaan yang banyak akan berkumpul dalam memori dan kemudian apabila tiba masa mencurah pada bentuk cerpen, ia akan melancarkan lagi penghasilan karya itu.

Saya selalu membayangkan menghasilkan karya seni seperti cerpen dan novel adalah seperti melukis di kanvas. Penatnya sama, ideanya sama cuma medium lontaran idea itu berbeza. Dulu, kalau hendak melukis, saya mesti bersunyi-sunyi. Duduk sendirian, pegang warna, tegangkan kertas dan lukis entah hapa-hapa.

Saya kurang berbakat melukis, sekadar bolehlah.. namun, prinsip melukis itu saya bawa waktu menulis. Bersunyi-sunyi. Malam, pagi, petang tidak jadi masalah. Kadang kala waktu lunch hari Jumaat itu jadi, kalau idea sudah mengetuk-ngetuk minta keluar dari kepala. (Sebab pejabat sunyi, ramai orang ke masjid dan ke Mid Valley)

Waktu saya di bengkel MPR, Dr Rahman Shaari pernah memberitahu, dapat idea peram dulu sampai masak. Lepas itu tulis, simpan kejap, baca balik edit. Begitulah lebih kurang. Sebab pandangan kita hari ini mungkin tidak sama dengan pandangan hari esok. Kadang kala menulis terkejar-kejar, karya yang tercerna juga plotnya terkejar-kejar!

Dulu, saya sungguh sukar untuk mengembangkan idea menjadi novel. Saya pernah bertanya pada rakan se-MPR dulu bagaimana dia menghasilkan novel sulungnya. Dan dia memberikan tips berkajang-kajang. Tips itu saya simpan (waktu saya minta pendapatnya sekitar tahun 1995) selama 10 tahun, hanya pada 2005, novel pertama saya terhasil.

Dan, apabila novel pertama terhasil, saya sudah ‘ligat’ dalam penulisan novel. Alhamdullilah, tiada kekangan lagi untuk mengembangkan idea. Cuma, sekarang bergelut dengan masa dan M yang lagi besar - MALAS :D

Hendak memulakan langkah pertama itu yang sangat berat. Namun apabila sudah jumpa rentak, alhamdulilah semuanya mudah.


Kenapa saya menulis semua ini? Sebab ada orang bertanya, bagaimana mendapat idea lewat Dalam Dakap New York dalam Jelita April. Dan, seorang lagi bertanya mood cerpen itu romantis dan penuh cinta, sedang bercintakah? Saya ketawa besar, tentu dan sentiasa... dengan suami saya! Namun, apabila kita menulis dengan penuh jiwa rasanya itulah yang terserlah pada karya.


Wednesday, May 6, 2009

Bukit Kepong & Propaganda



Minggu lalu, saya menonton filem Bukit Kepong di Astro. Memang sejak dulu pun kalau menonton filem ini memang air mata mesti menitis. Paparannya menyentuh jauh ke dalam sanubari. Minggu lalu, walaupun umur sudah berganda daripada hari pertama menonton Bukit Kepong, saya masih juga terasa-rasa mata panas. Hahahaha...

Seperti biasa bila menonton dengan anak, banyaklah soalan yang keluar dari mulutnya. Misalnya, kenapa orang tu tembak mama dia? Orang jahat itu Israel ke mama?

Pada si anak kecil yang hidup pada era millenium yang jahat itu Israel atau paling tidak Deceptercon dalam Transformer. Mereka tidak tahu tentang komunisme dan fahaman komunisme.

Saya banyak juga membaca biografi tokoh-tokoh pejuangan yang memilih haluan kiri misalnya Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin dan tentunya mereka yang dituduh sebagai komunis seperti Allahyarham A Samad Ismail dan Said Zahari yang melalui zaman getir penahanan tanpa bicara. Matlamat perjuangan itu mungkin sama, tetapi haluan yang dipilih itu yang membezakan di mana akhirnya mereka berada. Ya, matlamat tidak menghalalkan cara.

Saya punya persepsi tersendiri mengenai komunisme yang saya tidak ingin berkongsi di sini. Namun, membaca biografi Shamsiah Fakeh, ada satu perasaan yang lahir, perasaan yang sama seperti menonton filem Bukit Kepong. Terutama apabila seorang daripadanya lahir di hutan kemudian dalam keadaan masih melahirkan anak terpaksa menyelamatkan diri daripada peluru pihak lawan. Namun akhirnya anaknya dibunuh oleh rakan sepasukan tanpa dia tahu.

Bagaimanapun, Bukit Kepong sebagai sebuah filem propaganda memang sangat berjaya. Melihat kelibat Suhaina Yahya dan Lydiawati waktu zaman anak dara, mengingatkan saya pada zaman saya menonton filem ini emak saya lebih kurang sebaya mereka.

Selesai Bukit Kepong, saya bercerita dengan anak tentang zaman sebelum merdeka (cerita yang saya warisi daripada opah, datuk dan abah tentunya). Dia mendengar sebab selepas itu bertalu-talu soalannya. Mungkin dia akan menceritakan kisah yang sama pula pada anak-anaknya, mana tahu kan?

Tuesday, May 5, 2009

James Logan & Wolverine


Selepas Star Wars, X Men memang antara filem yang bakal bersambung-sambung mungkin lebih dari enam episod kut. Sekarang sudah ada empat pun.

Sejak kecil saya mengenal X Men tapi ketika itu watak (animated) lebih tertumpu pada Scott Summers dan Jean Grey sesekali Storm. James Logan hanya sesekali melintas begitu juga dengan Beast - Dr. Henry Philip "Hank" McCoy dan Gambit.

Namun apabila satu filem khas untuk Wolverine ditambah dengan X Men Origin pula didepannya, saya jadi teruja hendak menonton. Apa yang mahu diceritakan kali ini?

Berbaloi membayar untuk sekeping tiket wayang berbanding dengan sebuah DVD cetak rompak kerana kesannya lebih mendalam.Terutama watak Logan disuntik dengan meteor dan sewaktu dia bertarung dengan Wade.

Benarlah, kerana dendam dan cinta (sebab Logan mahu sangat membunuh Victor ‘Sabretooth’ disebabkan Karla) manusia sanggup saling membunuh termasuk dengan abang sendiri.

Anehnya, selepas Karla diketahui masih hidup dan mutan pula, Logan masih belum padam berdendam walaupun secara tidak langsung dia sudah memaafkan Karla.

Hugh Jackman dalam X Men Origin tiada satu pun sama dengan Hugh Jackman dalam Australia. Wolverine tampil hidup dan menawan di tangan Jackman. Jadi, daripada bermula dengan mengkagumi Scott Summers dan Gambit waktu zaman anak-anak, bila sudah tua, kagum pula dengan watak James Logan.

Filem ini ganas sikit dan banyak adegan yang tidak sesuai untuk anak-anak rupanya, tetapi saya redah saja sebab sudah bawa Adib & Azra.Mujurnya Adib yang banyak bertanya itu membuat statement, ‘ini filem superhero kan mama, komik kan, tak betulkan?,” Fuh...!

Tapi ahhh.. yang tak bestnya selepas habis movie, perlu buat buat ‘sidang akhbar’ pada Cik Hubby. Bukan sebab dia tidak faham movie tetapi dia tidak fahami siapa dan apa yang saya cakap bila saya bercerita tentang watak-watak lain yang tiada dalam X Men Origin (berdasarkan perkaitannya dalam komik) misalnya Colossus -mutan dari Russia- watak terawal yang diperkenalkan bersama Cyclops di bawah Prof X.

Mujurnya, dia masih sudi meneman ke panggung. Mujurnya dia masih sudi membayarkan tiket dan memandu ke Mutiara Damansara Emm.. bukankah perkahwinan itu kehidupan saling lengkap melengkapi?

Friday, May 1, 2009

Si Tomok!


Mula-mula waktu saya baca Tomok masuk audition OIAM, saya ketawa sendirian dan terfikir bolehkah budak berhingus yang menyanyi lagu jiwang karat ni masuk OIAM?

Saya bukan peminat Tomok. Saya tahu pasal Tomok sebab sepupu saya - NurFadzliana - sungguh mengilai Tomok. Si NurFadzliana ni pun umurnya dalam lingkungan umur Tomok, sebab itu dia gila sungguh dengan mamat ni. Poster NewBoyz merata-rata dalam bilik tidur dia.

Malah, perkara pertama yang dipesan waktu saya masuk bekerja sebagai wartawan adalah 'kirim salam kat Tomok," eiii... tak adalah aku! Apa kelas!

Selepas itu, adik saya - Shahariah - dan tentunya si sepupu itu memberitahu, Tomok hebat dalam OIAM, kalau tak percaya tengok sendiri. Kebetulan, di pejabat saya duduk tidak jauh daripada kumpulan wartawan hiburan yang sensasi dan tersendiri (oh ya, sangat dekat dengan mereka itu tapi... Kak Pora tau duduk kat mana .. :D atas bumbung kut !) jadi ada juga saya mendengar dan membaca mengenai Tomok.

Tergerak hati hendak menonton.Kisahnya macam best saja! Saya pun menonton OIAM waktu Tomok menyanyikan lagu Payung itulah lagu asal Rihanna. Wah.. superb! Sejak itu saya bagai disihir untuk berada di depan TV setiap malam hari Jumaat.

Sejak itu saya bersama teman sepemikiran Ben tidak ketinggalan menonton Tomok. Dan semalam, sambil menonton saya berbalas-balas SMS dgn Ben dan my hubby (yang out station) tentang Tomok.

Dan sebab risau Tomok kalah sebab peratusan yang jauh ketinggalan berbanding Easther dan Aweera (hubby suka Aweera sebab sama-sama mai dari Perlis.. orang Siam pulak tuh!!! ) saya mengundi Tomok. Wah, saya separuh percaya dengan diri saya. Saya tidak pernah undi untuk mana-mana peserta realiti walaupun pada zaman Malaysia terkena Taufan Mawi dulu.

Tapi kali ini, saya tewas dengan Tomok! Dan betapa gembiranya melihat Tomok muncul juara. Ya, muzik itu universal. Orang tua pun terasa muda kerana muzik. Manusia boleh berubah kerana muzik, lihatlah transformasi Tomok dari budak jiwang karat dengan lagu cinta meleleh tahi telinga menjadi superstar!

Semalam, saya tidur dengan senyum panjang dan lena walaupun selalunya kalau hubby out station saya jarang tidur lena dan lama.

Tahniah Tomok dan semoga anda terus berjaya!

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...