Monday, April 29, 2013

Kabul In Winter

Kabul In Winter 

Permulaan kisah ini sangat menarik hati saya. Kisah ini dimulakan dengan catatan perjalanan seorang wartawan ke Kabul.

Ia bukan novel, tapi sebuah catatan seorang wartawan Amerika, Ann Jones ke Kabul selepas tragedi 9/11.

Kisah bagaimana dia tercari-cari pesawat untuk ke Kabul, bagaimana layanan orang lelaki terhadap perempuan. Betul, di sesetengah negara Islam kita tidak boleh nafikan hak seorang perempuan masih tidak dihormati meskipun Islam tidak pernah mendiskriminasi seorang perempuan.

Kabul In Winter jujurnya banyak mempengaruhi penulisan novel ke empat dan ke lima saya, Sehiris Bulan & Deru Angin.

Seperti juga The BookSeller of Kabul, buku ini merakam suka duka kehidupan harian orang Afghanistan. Saya jumpa buku ini di gerai buku terpakai.

Tapi sayang, saya hilang buku ini gara-gara meminjamkannya kepada rakan. Saya berdoa, kawan saya itu diberikan petunjuk dan hidayah untuk memulangkan buku ini semula. Sesungguhnya saya berharap, sebab saya tidak berjumpa lagi buku ini di mana-mana kedai buku setakat ini.

Dan ikrar saya, tidak mahu beri pinjam buku-buku pada orang lain... (halalkah ikrar begitu?)

Selamat membaca!

* Ya, ini bukan review ini rayuan untuk pulangkan buku, tolong!

Thursday, April 18, 2013

The White Mughals







The White Mughals adalah buku pertama tulisan William Dalrymple (susahnya nak eja.. ) yang saya baca. Ia bukan buku fiksyen tetapi buku sejarah awal hubungan antara British dan India.


Saya ingat pertama kali bertemu dengan buku ini di Jakarta, dan buku ini dalam versi bahasa Indonesia. Kalau tidak silap harganya RM8. Saya tertarik dengan blurp buku dan atas nasihat seorang kawan saya beli. Katanya, kalau bagus, nanti carilah dalam versi asalnya.

Tapi sungguh saya tak beli pun sebab tak jumpa.

Usai menelaah The White Mughals saya jatuh cinta dengan tulisan Dalrymple. Saya membeli pula The Last Mughal kali ini dalam bahasa Inggeris. Buku ini masih cantik dalam plastik dan belum dibaca.

Saya tidak pasti dengan pembaca lain, tetapi saya secara peribadi sangat teruja dengan buku-buku sejarah terutama isu-isu yang menyentuh hubungan antarabangsa. Pengalaman membaca buku-buku begini seingat saya akan membuatkan saya resah sepanjang hari kalau tidak dihabiskan.

Namun jujurnya, saya tidak mampu hendak menghabiskan dalam masa seminggu. Biasanya lebih dari sebulan! Jadi, pengalaman membaca buku-buku begini sangat menyeksakan tetapi pada akhir pembacaan ia melahirkan nikmat yang amat.

Ok, terlebih intro .. :)

The White Mughal kisah antara pegawai British di India Kapten James Kirkpatrick (saya baca buku ini pada tahun 2011 dan mengambil masa dua tahun untuk review ) dengan gadis bangsawan beragama Islam bernama Khairun-Nisa.

Selain isu hubungan antarabangsa ada banyak persoalan agama di sini. Saya pasti penulisnya merakamkan hubungan  Kirkpatrick dengan Khairun-Nisa mengikut pandangannya dan hasil kajiannya. Jadi, mungkin dia tidak jumpa data-data tentang agama keturunan pasangan ini.

Hubungan itu terhalang kerana faktor kepentingan British di India juga kedudukan keluarga Khairun-Nisa tetapi akhirnya berjaya kahwin dan bla bla bla.. tapi pasangan ini meninggal dunia pada masa yang muda dan anak-anak mereka dibawa ke England dan di'Inggeriskan'.
 
Kisah hubungan cinta ini adalah nadi The White Mughals. Namun, kisah persekitaran kehidupan mereka ketika itu sangat menarik. Biarpun ia merakam kisah cinta tragik Kirkpatrick dan Khairun-Nisa, strategi penjajahan British dan perlaksanaannya oleh Kirkpatrik sangat berbeza.  Kirkpatrik menunjukkan simpati yang berlebihan kepada Nizam of Hyderabad, sesuatu yang tidak begitu digemari oleh East India Company.

Liciknya strategi perang, pertahanan British terserlah dalam naskhah ini. Saya menyarankan buku ini wajib dibaca oleh anda  yang gemarkan isu-isu hubungan antarabangsa/strategik analisa dan sejarah.





Namaku Bukan Maria





Tragedi Natrah Che Maarof atau Maria Bertha Hertogh pernah mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan rusuhan kaum di Singapura, yang menyaksikan 18 orang maut pada 1950.

Bukan sedikit kisah ini diangkat sebagai fiksyen namun di tangan Ibnu Azman Al Kurauwi, sejarah Natrah dirakam dalam sorotan yang lain menerusi Namaku Bukan Maria. Novel ini adalah kisah keluhuran cinta seorang ibu kepada anak angkatnya dan kisah ketelusan kasih sayang anak remaja kepada agamanya.
 
Dari satu sudut, ia membawa pembaca jauh dari realiti bahawasanya Maria dalam kehidupan sebenar sangat menderita, penuh kesedihan dan  kontroversi seperti yang tercatat dalam sejarah Tanah Melayu. 
 
Bagaimanapun, fiksyen ini tidak memperincikan hingga ke titik itu. Sebaliknya, sejarah  Natrah di tangan Ibnu Azman meninggalkan kesan yang indah dan tanpa air mata. Kisah Natrah terjadi pada zaman penjajahan Jepun di Indonesia.
 
Natrah lahir pada 24 Mac 1937 di  Tjimahi, Jawa, Indonesia. Ketika Indonesia dijajah Jepun, keluarga Natrah yang berketurunan Belanda dihimpit ketakutan dan kemiskinan disebabkan dasar penjajah yang anti Belanda.
 
Kehidupan keluarga itu lebih payah apabila bapa kandung Natrah dipenjarakan. Natrah kemudiannya diserahkan kepada Che Aminah oleh ibunya, Adeline Hertogh kerana hubungan akrab Che Aminah dengan nenek Natrah, Noor Louise yang beragama Islam. Che Aminah ketika itu menemani suaminya yang menjalankan perniagaan di Bandung, Indonesia.
 
Namaku Bukan Maria merakamkan seluruh kemanisan kehidupan Natrah sepanjang bersama Che Aminah di Kemaman Terengganu. Naskhah ini juga seperti ditulis di kulit belakangnya, menyuntik intuisi terhadap nilai iman kemudian disenyawakan dalam diri Natrah.
 
Justeru ia sebuah fiksyen, naskhah merakam sejarah menurut konteks pengarangnya seperti teori New Historicism  yang mencadangkan karya sastera itu dikaji dan diterjemah dalam konteks sejarah pengarangnya dan sejarah yang dikritiknya.
 
Ibnu Azman antara pengarang yang cemerlang dalam permainan bahasa. Kekuatan novel ini adalah dari segi bahasanya yang sangat puitis. Penceritaan dari satu bab ke bab yang lain walaupun ada kala agak meleweh dan sedikit merimaskan tetapi ia ditutup oleh keindahan bahasa yang dipilih pengarangnya.
 

Namaku Bukan Maria adalah novel keempat tulisan Ibnu Azman selepas Tinta Elipsis, Insyirah dan Punya Cinta Ramadan.
 

Tuesday, April 16, 2013

Antologi Cerpen Pertama





      




Antologi cerpen pertama.
  Terbitan ITBM
      Harga RM20

      Boleh diperoleh di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 nanti insya allah.


# Saya tidak pasti yang mana satu yang pembaca sekalian lebih nikmati dalam antologi ini, tapi saya secara peribadi terlalu dekat dengan Istimewa, Menjadi Perempuan, Adiba Seorang Ultraman dan Pala' Tumpa.

Sekadar berkongsi  cerita, sewaktu menyiapkan Pala' Tumpa, (saya memerlukan lebih dua minggu untuk menyiapkan cerpen ini) ada pengalaman yang magis.. hahaha.. ala-ala misteri nusantara.

Sebab? Pala Tumpa' itu sendiri ikon budaya unggul kaum Iban. Lain-lain saya tak payah ceritalah.. nikmati Pala' Tumpa dulu.

Ada banyak kesilapan teknikal di dalamnya, saya maafkan untuk semua kesilapan sebab kita ini masih manusia biasa.  Moga-moga kalau ada (kalau adalah ) cetakan seterusnya, ia mampu diperbaiki.

Selamat membaca !
   


Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...