Thursday, April 30, 2009

Lagu Cinta Anak Peribumi

Dengan keringat lelah
telah kubelah
resah malam ke hujung pagi
antara limpah budi
bayang bulan dan bahang mentari

Dalam ramah setianya
pada menguntum bunga
harum mimpi anak peribumi

Di lembah lurah tanah ini
telah kubenamkan hangat nadi
mengenggam gunung kudrat
bersama dendam yang sarat
demi membakar derita abad

Di angin perkasa langkah dan lenggang
di kolam yakin telek dan pandang
maka bersama air mata dan darah ini
aku lagukan lagu cinta anak peribumi


Gemanya mengegar teluk tanjung dasar lautan
Gemanya mencium lirik jernih awan gemawan
Lalu bersatu di ladang kehidupan
Tumbuh bercambah rendang dan berbuah
ke denyut rasa jantung sentosa

~ Dharmawijaya ~



Sajak ini saya hafal sejak usia 17 tahun. Waktu itu puisi ini salah satu kajian untuk kertas kesusasteraan melayu SPM (kalau tak silap! sebab saya tidak mengkaji puisi waktu SPM). Tapi mungkin ada beberapa frasa yang tidak tepat, maklumlah sudah lama dalam memori.

Kemudian, mendeklamasikan sajak ini menjadikan saya juara deklamasi sajak di sekolah.


Dengan sajak ini, saya membuat persembahan pada malam penutup Minggu Penulis Remaja 1994. Dengan sajak ini, membuat seseorang terpesona pada saya (ehem ehem) dan saya pun terpesona pada dia.

Alhamdulilah, Allah mengatur yang baik-baik untuk hamba-Nya, Allah memberi apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu.

Monday, April 27, 2009

Selesema babi!

http://cache.boston.com/resize/bonzai-fba/Globe_Photo/2009/04/24/1240625720_1589/539w.jpg

Pertama kali saya mendengar tentang selesema babi (swine flu) ahad lalu. Selama ini kita mendengar tentang selesema burung.

Namun sebenarnya selesema babi (ketika itu dirujuk sebagai pig flu yang rasanya lebih tepat dengan terjemahan kita selesema babi) terjadi di Hong Kong.

H1N1 banyak bezanya dengan selesema burung atau influenza (masalah jangkitan pernafasan). Ramai orang percaya selesema dan influenza itu sama.

Bagaimanapun, dari apa yang saya fahami influenza mencapai kemuncaknya di negara ini antara April dan Jun,selain Oktober dan Disember setiap tahun.

Ada satu kajian yang dilakukan Ketua Jabatan Perubatan Mikrobiologi dan Imunologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)mendapati sejak dulu influenza berupaya menjadi pandemik yang meragut nyawa.

Laporan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut antara lima hingga 15 peratus populasi dunia terjejas dengan masalah influenza.Setiap tahun, antara tiga hingga lima juta kes influenza yang sederhana dan kronik dicatatkan dengan kematian antara 250,000 dan 500,000 orang di seluruh dunia.

Laporan itu menyebut influenza dan selesema adalah dua masalah kesihatan yang berbeza kerana masalah jangkitan pernafasan terjadi disebabkan virus influenza yang boleh berlaku pada tahap biasa hingga membawa maut.

Dan vaksin yang dipromosikan untuk menentang selesema itu sebenarnya lebih kepada vaksin menentang influenza. Ini kerana virus penyebab (strain) influenza berubah-ubah setiap tahun, vaksin influenza juga perlu diambil setiap tahun dengan formulasi berbeza. Setiap tahun antara pertengahan Mac dan November vaksin baru akan dikeluarkan. Tak silap saya dipanggil vaksin hemisfera utara dan hemisfera selatan (kalau salah betulkan!)

Swine flu pula ?
Emmm... bukan saja kita, tetapi saintis tidak begitu tahu mengenainya sepenuhnya cuma yang tahu ia mudah merebak kerana boleh berjangkit dari manusia kepada manusia (sesuatu yang sangat digeruni di kalangan pengkaji selesema burung).

Laporan WHO ada menyebut kebanyakan kes selesema babi yang disebabkan virus H1N1 - yang menggabungkan genetik babi, burung dan manusia, berlaku di kalangan golongan yang berusia 45 tahun ke bawah.

Gejala dan tanda jangkitan virus itu adalah demam, batuk, sakit badan serta susah bernafas, selain dikesan berlaku di kalangan mereka yang mempunyai kaitan dengan ternakan babi. Dan.. emmm.. tiada vaksin untuknya!

Namun, apabila wabak begini terjadi ingatkah anda pada janji Allah tentang dunia akhir zaman, tentang penyakit yang tiada ubat? Mungkin, selesema penyakit yang ‘mudah’ ini, mudah juga berjangkit dan aneh walau sudah dikesan lama dulu, masih tiada ubat.

Friday, April 24, 2009

Mencari Debar Sukma Rindu

Pic ini dari laman web ITNM

Saya terlewat untuk membaca Debar Sukma Rindu tulisan FT. Sebabnya, saya selalu tidak bermasa untuk berkunjung ke DBP. Dan tidak berusaha keras juga sebenarnya!

Ditambah faktor kerap kalinya, buku-buku keluaran DBP memang sukar ditemui di kedai-kedai buku biasa. Tak tahulah apa masalahnya. Mungkin kakitangan pemasarannya tidak cukup, mungkin! Jadi, sewaktu beberapa rakan bercakap tentang Debar Sukma Rindu saya sengih sajalah, tak tahu.

Anehnya saya sudah khatam Saasatul Ibaad yang diterbitkan kemudian!

Mencari DSB di Pesta Buku Antarabangsa KL memang sukar. Sebabnya sudah habis cetak. Itu jawapan kakitangan DBP yang bertugas. Selain itu jalan-jalan di gerai Al Ameen pun sama. Mereka sebaliknya menawarkan karya terjemahan DSB.

Bukanlah saya menafikan keupayaan terjemahan novel itu tetapi saya lebih selesa membaca DSB dalam bahasa ibunda sebabnya bahasa Melayu terlalu indah dan keindahannya akan hilang bila diterjemah dalam bahasa asing. Itu pendapat sayalah!
Bagaimanapun novel terjemahan itu nampaknya satu-satu pilihan yang saya ada jika mahu menikmati DSB. Jika tidak, saya terpaksa tunggulah ia diulang cetak.

Anehnya juga perkiraan DBP, sepatutnya dalam mempromosikan terjemahan DSB, molek juga disertakan dengan novel asalnya, mana tahu ada orang mahu beli dua sekali, kan lebih untung? Tapi entahlah mungkin mereka ada strategi sendiri atau tak sempat kut?

Emm.. mungkin terpaksa membeli melalui internet kali ini, sesuatu yang tidak pernah saya buat. Sebab? heheheheh... saya ni terlalu fobia berurusan dengan internet jika membabitkan wang. Penakut? Mungkin!

Thursday, April 23, 2009

Dalam Timbunan Buku


Baru berkesempatan menjengah ke Pesta Buku tengahari semalam. Memang terlambat tetapi ada juga hikmahnya. Sebab pergi waktu lepas lunch hour, orang tak ramai kecuali rombongan pelajar sekolah.

Tapi tak bestnya, hanya sempat meluang masa satu jam sahaja. Hanya sempat bertemu 'informer' untuk dapat beberapa maklumat lepas itu beli buku sifir untuk hero di rumah yang setiap pagi sebaik saja celik mata bertanya "mama, 12 X 12 make what?" kadang-kadang bertanya 30 X 40 make what" mamanya ini pun bukan Adi Putra, terkebil-kebil nak mencongak pagi-pagi buta tu.

Jadi, jawapan selamat, nanti ya otak mama belum boleh bergerak lagi. Mandi dulu, makan sarapan baru boleh bagi jawapan. Dan mulut si hero cepat saja menjawab, mama tak tahu kan? Cakap sajalah... emmm.....

Tapi, dalam tidak ramai orang di Pesta Buku itu, gerai novel popular (seperti yang diistilahkan ramai penulis tapi saya anggap ia novel sastera juga tak kiralah apa jenis pun) memang tepat penuh dikunjungi orang.

Gerai Karangkraf yang menempatkan Alaf 21 dan Buku Prima memang penuh, semalam gerai NB Kara, tak ramai orang tapi gerai PTS ramai juga terutama pelajar sekolah. Mungkin mereka mencari novel remaja yang sekarang semakin diminati. Tambah-tambah PTS bagi potongan 25 peratus pada pelajar.

Sempat singgah di gerai ITNM mencari buku Budaya Imperialisme, entah tak jumpa pulak. Akhirnya terjumpa di MPH. Oklah asal ada.

Pesta buku sudah hendak berakhir, kalau yang belum berkunjung silalah. Emm, MPH pun ada buat jualan gudang di PJ sepanjang minggu ini. Wah.. banyaklah habis gaji bulan ini!

* Pic tiada, tak sempat snap !

-----------------------------------------------

Baru balik dari Pesta Buku (lagi) ambil masa dua jam sempena waktu lunch hari jumaat. Wah, ramainya orang kali ini. Dan banyaknya duit saya terbang lagi... oh tidak!!
Tapi ramai wanita dari lelaki. Sana sini wanita dan ha... kebanyakan mereka wanita bertudung. Satu daripada sebabnya tentulah sebab lelaki bersolat jumaat.
Namun, dari satu segi lain, majoriti 'warga pembaca' adalah perempuan. Mungkin agaknya (agaknya lah.. tak pernah ada saya buat kajian pun) novel cinta lebih popular !
Selamat berpesta buku !


---------------------------------------------------

Pergi pesta buku (sekali lagi) kali ini ya Allah... ramainya manusia! Berhimpit-himpit menyesakkan nafas. Namun, beli tetap beli. Maklumlah bersendirian, senang hendak mencapai itu ini dan singgah sana sini.
Esok hari akhir. Siapa belum pergi, silakan. Kalau tidak, tunggu tahun depanlah ya!

Friday, April 17, 2009

Kawan

Foto Ehsan - kawan blogger yang baik hati

Ada seorang mak nyah yang saya jumpa di sebuah majlis agama kelmarin. Mak nyah itu lemah gemalai langkahnya tetapi cantik, kemas penampilan, rambutnya panjang disepit ke atas (kalau orang Perak panggil -teronsit-). Berbaju hitam lengan pendek dan berseluar denim.

Waktu kami berpapasan di pintu masuk, saya tersenyum padanya dan dia membalas dengan senyum lebar. Senyum yang penuh yakin dan penuh rasa mesra.

Kemudian saya diberitahu dia adalah salah seorang penghuni 'jalan belakang' sekitar Chow Kit. Saya tidak peduli sangat dengan fakta itu tetapi saya sungguh kagum melihat dia. Seorang tetamu di majlis yang sama memberitahu, memang JAKIM selalu mendekati golongan sebegitu mendekati mereka dengan kelas agama yang diadakan dua minggu sekali di sekitar Chow Kit.

"Awak tentu sedih melihat mereka. Ada yang tidak tahu mengucap kalimah syahadah pun ada yang tak tahu baca fatihah malah solat. Mereka hanya tahu puasa,"

Sebab itu kata tetamu itu lagi, pendekatan dalam menegak agama Allah jangan buat dengan kekerasan sepatutnya ia bermula dengan kelembutan dan menyentuh nurani mereka di lubuk yang paling dalam.

Insya Allah, dengan hanya bertindak sebagai kelas mengajar mengaji atau mendirikan solat hati mereka akan terbuka untuk meninggalkan yang mungkar. Sebab, kita dan mereka adalah manusia. Setiap manusia tidak sunyi dari kesilapan. Dan, menghukum mereka dengan prejudis adalah hukuman yang sangat kejam.

Saya senyum saja waktu tetamu itu bercerita. Betul, kadang-kadang kita terlalu prejudis dan mudah menghukum yang mana benar dan tidak yang mana menghuni syurga dan yang mana pula menghuni neraka.

Saya teringat perkenalan dengan seorang lelaki pesakit Aids. Waktu dia menghulur tangan, saya teragak-agak menyambut . Selepas itu saya teringat kembali fakta perubatan, Aids tidak boleh berjangkit melalui huluran salam.

Waktu saya sambut salamnya, dia tersenyum panjang. Katanya tidak ramai orang sudi bersalam dengan pesakit Aids melainkan mereka tidak tahu dia dihidapi Aids. Lelaki itu gigih berjuang sebagai aktivitis HIV/Aids. Bekas penagih dadah tetapi sekarang bekerja sepenuh masa sebagai sukarelawan.

Semakin lama kita hidup semakin ramai manusia yang kita jumpa. Tetapi ada kala prejudis membuat kita membataskan persahabatan. Percayalah, melalui kawan kita mengenal kehidupan, melalui kawan kita mengenal sempadan keburukan dan kebaikan.

Thursday, April 16, 2009

Perlu menjadi hipokrit?


Dialog yang panas!

Itu yang saya faham tentang tulisan ini. Kemudian pertikaian sesetengah pihak mengapa sukar sekali menembusi media arus perdana.

Saya mula menulis pada usia 16 tahun. Pernah menang hadiah sastera tetapi untuk tahap usia itulah juga. Selepas itu saya sudah sukar untuk bersaing dengan penulis lain. Sebab saya tidak cukup ilmu.

Kata bijak pandai sastera, penulisan memerlukan bakat + ilmu + kerajinan + kesungguhan.

Kadang-kadang saya malas. Bukan setakat malas menulis, membaca pun malas. Banyak kerja lain yang menanti. Misalnya menjaga anak-anak, mengemas rumah, dan macam-macam tuntutan yang perlu dipenuhi atas kapasiti sebagai suri di dalam rumah dan suri di hati suami.

Saya masih baru dalam dunia penulisan ini (secara aktifnya) dan masih berjuang untuk menembusi dinding Dewan Sastera. Dindingnya terlalu kuat dan karya saya masih cukup bagus untuk tembus.

"Kena banyak lagi belajar menulis dan belajar juga berbaik-baik dengan editornya," itu versi seorang kawan. OOOOO.... begitu ke? Saya belum pernah cuba dan terfikir-fikir petua kawan itu.

Monday, April 13, 2009

Sebahagian kecil manuskrip


" Azlin pantas memecut, Satria Neo pantas juga mengekori, dalam gementar dan dalam kelam kabut, Azlin tidak langsung terlihat lampu trafik berwarna merah menyala di depannya. Sebuah kereta datang dari kanan, Azlin tidak sempat mengelak.
Brek bergesel kuat. Bunyi mengigit telinga. Dentuman mengapung bau darah. Noktah.
“Apa yang kita ada di sini?,”
“Perempuan Melayu, 29, kemalangan kereta. Dikhuatiri retak leher,”.
Tuhan, tolong aku tuhanku. Aku mahu terus hidup. Aku mahu terus melihat dunia. Aku mahu mengotakan janji yang terikat.
Jururawat bergegas pergi. Darah memenuhi stretcher. Ruang kecemasan kelam kabut. Jururawat berkejaran.
Tuhan, mengapa panas terasa seluruh tubuh? Tuhanku mengapa aku gagal membayangkan wajah Marc? Ayah, ibu.. aku mahu menatap wajahmu.

Mata sedikit terbuka. Darah memenuhi hampir seluruh muka. Rambut hitam sudah melekat antara satu sama lain kerana bauran darah. Mata kembali tertutup. Stercher ditolak ke bilik pembedahan dengan laju. Beberapa pesakit lain memandang kehairanan.
Bunyi denyut nadi memberi harapan. Doktor Izuan memeriksa luka. Doktor Hafiz bergegas datang. Dia memandang perempuan Melayu yang terkulai.

“Doktor, Melayu, 29, kemalangan kereta, spinal injury,”

Doktor, tolong saya.. saya mahu terus hidup. Saya cukup kuat untuk mengharung segala dugaan yang datang. Doktor, tolong saya.Tolong.. saya tidak mahu pergi dalam keadaan begini."


* Ini sebahagian kecil manuskrip novel ketiga yang sudah siap tetapi belum lagi dihantar kepada penerbit atas alasan mahu 'touch up'. Maaflah, tiada idea untuk menulis blog kebelakangan ini. Banyak sungguh perkara yang merunsingkan hati dan meminta tumpuan. Dan tidak lupa credit gambar untuk kawan blogger yang memberi .
Mahu baca seterusnya? Nantikan kehadirannya di pasaran Insya Allah sebelum berakhirnya 2009. Tajuknya? Belum ada lagi, mahu beri cadangan?


Thursday, April 9, 2009

Doa & Tahniah

Saya mengharapkan dan mendoakan yang terbaik untuk kabinet 'rakyat' ini.

Saya juga mendoakan yang terbaik untuk Azilah dan Sirul yang hari ini dijatuhkan hukuman mati.

Saya tidak lupa mendoakan yang terbaik untuk ekonomi Malaysia hari ini.

Saya juga tentu tidak lupa mendoakan yang terbaik untuk diri sendiri.

Wednesday, April 8, 2009

Cerita tentang tak habis mengaji!

Saya ada seorang kenalan, Dr X namanya. Dr X ini seorang lelaki. Dia sudah bekerja sebagai pakar runding sakit puan lebih 20 tahun. Orangnya ringkas dan mudah didekati.
Cerita ini disampaikan oleh seorang kenalan lain kepada saya. Dr X, tak pernah beritahu. Tapi selepas kenalan itu bercerita tentang Dr X, saya ketawa sampai keluar air mata.

Ceritanya begini;

Ada sepasang suami isteri datang ke hospital tempat Dr X bertugas. Penampilan pasangan ini sungguh Islamik, berjubah, berserban manakala isterinya bertudung labuh.

Pasangan ini ke kaunter dan berkata, mereka mahu mahu berjumpa dengan doktor pakar, doktor terbaik di hospital ini yang sudah berkhidmat puluhan tahun.

Kata jururawat di kaunter, boleh, Dr X namanya. Tetapi kerana pasangan ini tidak buat temujanji awal, kenalah menunggu lama sikit. Oh, itu soal kecil, yang penting menerima rawatan daripada doktor pakar.

Sebaik saja masuk ke bilik Dr X, biasalah.. Dr X bertanya nama, usia, tarikh akhir datang haid sebab pertemuan itu kali pertama. Dalam bilik itu ada Dr X, jururawat, si isteri dan suami.

Dr X pun mengarahkan isterinya berbaring di katil untuk pemeriksaan, sementara Dr X menulis sesuatu di fail pesakit.


Dari tarikh akhir datang haid, kemungkin si isteri sudah hamil dalam dua bulan. Kerana pemeriksaan dilakukan di hospital swasta, imbasan ultrasound itu memanglah kebiasaan sepanjang kehamilan.


Waktu Dr X datang ke katil, dia lihat si suami menutup perut isterinya dengan kain batik. Dr X pelik dan bertanya, bagaimana saya hendak memeriksa kandungan isteri tuan kalau tuan tutup perutnya dengan kain batik?


Jawab si suami, mana boleh tengok, perut isteri saya aurat. Doktor bukan muhrim.


Dr X tarik nafas panjang dan dengan lemah lembut dia berkata, tuan boleh angkat kain batik ini dan angkat juga isteri tuan sekali!


Sungguh, saya ketawa sampai keluar air mata!

Friday, April 3, 2009

Tahniah tuan puan



Tahniah ya tuan puan, kerana sudah sah mendapat PM baru.

Tahniah juga kepada
mereka yang percaya pada teori R.A.H.M.A.N, walaupun rasanya ia kebetulan.

Tahniah kepada pejuang kebebasan mutlak dan demokrasi kerana 13 tahanan ISA termasuk Hindraf dibebaskan. ISA juga dikatakan akan dikaji semula.

Tahniah kerana penarikan semula larangan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan.

Tahniah juga kerana selepas ini, suara anda mungkin didengar atas manifesto, tiada seorang pun akan dipinggirkan.

Tahniah juga kerana sedikit sebanyak kita juga tahu sifat kepimpinan itu diwarisi secara genetik.

Tahniah kerana tiada slogan 'bekerja bersama saya'

Secara peribadi saya sangat suka dengan kata-kata PM baru, " Satu Malaysia, Rakyat
didahulukan, Pencapaian diutamakan" . Dan ia sesungguhnya bermula dengan kita sebagai warga Malaysia.

Kerana itu, tahniah juga kepada Tun Dr Mahathir yang kembali ke pangkuan Umno.

Bukan Wanita Biasa

KLWBC 2020: Bukan Wanita Biasa Zainal Rashid Ahmad wartawan dan penulis sastera.   Mei 11, 2020 09:00 +08  |  Durasi: 10 minit, 38 saat SENA...